"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zeti: Keluarga saya tak terima satu sen pun

Ho Kit Yen 

KUALA LUMPUR: Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memberitahu mahkamah bahawa tiada seorang pun ahli keluarganya pernah menerima atau mengambil dana 1MDB.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan kes rasuah Najib Razak berkait 1MDB.

Akram menyoal Zeti sama ada beliau dan ahli keluarganya pernah menerima sebarang manfaat daripada transaksi dalam akaun bank Najib.

“Tiada seorang pun dalam ahli keluarga saya pernah terima atau ambil satu sen pun (daripada 1MDB),” jawab Zeti.

Najib sebelum ini mendakwa keluarga Zeti menerima wang daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dalam permohonannya ke mahkamah, Najib meminta pihak pendakwaan mengemukakan penyata bank daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, Acme Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd.

Najib mendakwa syarikat-syarikat berkenaan mempunyai kaitan dengan keluarga Low dan keluarga Zeti.

Bekas perdana menteri itu juga meminta pihak pendakwaan mengemukakan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020, dan transkrip laporan forensik ke atas telefon bimbit bekas pengurus bank, Tim Leissner.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bagaimanapun menolak permohonan itu, atas alasan dokumen-dokumen berkenaan tidak relevan dengan tuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa yang dihadapi Najib.

Menurut mahkamah, Najib juga tidak berhak memperoleh keterangan saksi yang dirakam polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan, bagi mengelakkan ia terjejas.

Najib menarik balik rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memperoleh dokumen-dokumen itu bulan lepas.

Peguamnya bagaimanapun berkata, perkara ini akan ditimbulkan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Tiada ulasan: