"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada surat untuk Hang Tuah tersimpan di Itali

Amir Mamat
am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Kerajaan Melaka merancang untuk membawa pulang satu manuskrip lama dipercayai sepucuk surat yang didakwa diutuskan oleh Maharaja Rom kepada Hang Tuah satu ketika dahulu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, surat yang dikatakan dihantar oleh perutusan maharaja terbabit iaitu pelukis terkenal potret Monalisa Leornardo Da Vinci kini tersimpan di sebuah muzium di Vatican City, Rom di Itali.

Beliau berkata, pengkaji sejarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Rohaidah Kamaruddin mengesahkan mengenai penemuan surat terbabit.

"Dr Rohaidah melakukan kajian sejarah itu ke Vatican City dan satu daripada hasil penyelidikan terbabit menemui sepucuk surat dipercayai ditujukan kepada Hang Tuah dengan menggunakan nama Laksamana Orang Muda.

"Ada beberapa perkataan yang sukar dibaca di surat berkenaan tetapi beliau yakin surat itu ditujukan kepada Hang Tuah sebelum dititahkan oleh Sultan Mansur Syah untuk menghadap Maharaja Rom. Surat itu dihantar oleh Leornardo Da Vinci," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan Huffaz 2022 Melaka, di Amverton Heritage Resort, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pakar dan pengkaji sejarah Melayu untuk berkunjung ke Vatican City bagi membawa pulang surat terbabit serta beberapa artifak lain.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa fakta sejarah Kesultanan Melayu Melaka perlu diperbetulkan bagi memastikan generasi sekarang dan akan datang tidak terus keliru.

"Dengan kewujudan artifak sejarah itu sebenarnya membuktikan kehebatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah itu wujud di serata dunia.

"Kerajaan negeri sedang berusaha membawa balik semua artifak ini dan sedang mengatur bajet khas bagi memastikan usaha itu dapat direalisasikan," katanya.

Tiada ulasan: