"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amang seksual cucu jiran, warga emas dipenjara setahun

Bernama

PUTRAJAYA: Seorang warga emas meringkuk dalam penjara selama setahun kerana melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap cucu jirannya yang berusia lima tahun, empat tahun lalu.

Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, M Gunalan, dan S M Komathy Suppiah yang membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen Kangar yang mendapati Harun Dahman bersalah atas perbuatan itu.

Bekas penoreh getah berusia 78 tahun itu juga dikenakan satu sebatan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan dari penjara.

Mahkamah memerintahkan Harun memulakan hukumannya hari ini.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Vazeer berkata rayuan pihak pendakwaan mempunyai merit.

Mahkamah yang mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen Kangar, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kangar yang melepas dan membebaskan Harun daripada kesalahan itu.

Vazeer berkata, hakim Mahkamah Tinggi gagal menggunakan prinsip yang betul apabila membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

“Kami berpandangan hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengganggu keputusan dan penemuan fakta yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar keterangan yang diberikan oleh saksi, khususnya mangsa dan perayu (Harun),” kata hakim itu sambil menambah bahawa keputusan dan penemuan fakta Mahkamah Sesyen tidak salah.

Mengikut pertuduhan, Harun melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan itu, yang berusia lima tahun ketika itu, di sebuah rumah dalam daerah Arau, Perlis, pada 6.30 petang pada 15 Feb 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada 6 Nov 2020, Hakim Mahkamah Sesyen mendapati Harun bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara setahun serta satu sebatan dan memerintahkan lelaki itu diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman penjara.

Harun kemudiannya merayu ke Mahkamah Tinggi dan pada 17 Feb tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan membebaskannya.

Pihak pendakwaan kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Mengikut fakta kes, seorang jiran melihat Harun masuk ke dalam rumahnya diikuti kanak-kanak perempuan itu sebelum warga emas itu menutup pintu rumah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi manakala peguam Norharniza Rusli mewakili Harun.

Tiada ulasan: