"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Lelaki langgar kereta polis kerana cemas bawa dadah

Malaysiakini

Cemas akibat membawa dadah, seorang lelaki melanggar bahagian depan kereta peronda ketika cuba melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa itu di Taman Wira Jaya, Lubuk Jong Pasir Mas awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata sepasukan pegawai bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas terlihat sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru dalam keadaan mencurigakan dengan tingkap di bahagian pemandu terbuka.

"Menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit mengundurkan kenderaan yang dinaikinya secara laju sebelum melanggar bahagian depan kereta polis.

"Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek yang terbabas di bahu jalan dan terlanggar tiang elektrik," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Muhamad Zaki berkata pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki lelaki terbabit menemukan satu bungkusan plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi syabu seberat 1,790.45 gram dengan nilai rampasan kira-kira RM49,500.

Dia berkata lelaki berumur 21 tahun itu ditahan di depan sebuah rumah di Taman Wira Jaya pada jam 1.50 pagi.

Katanya semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan positif methamphetamine.

"Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: