"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adik Nik Aziz dakwa pemimpin Kelantan tolak Nik Abduh jadi calon

FMT Reporters

PETALING JAYA: Adik kepada bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat mendakwa seorang pemimpin Kelantan menolak nama Nik Abduh sebagai calon PRN di negeri itu.

Nik Din Nik Mat berkata nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada awalnya disenaraikan sebagai calon malah Presiden PAS, Hadi Awang sendiri turut menghantar surat meminta nama Nik Abduh dipilih.

“Presiden PAS sendiri jawab memang kita perlukan Nik Abduh kerana beliau cerdik, kerja bagus dan dalam Parlimen pun sentiasa bersuara.

“Jadi beliau (Hadi) meminta Nik Abduh diberikan kerusi dalam Parlimen Pengkalan Chepa, tidak kira mana-mana kerusi,” katanya dalam satu video yang tular.

Bagaimanapun, Nik Din mendakwa nama anak Allahyarham Nik Aziz itu akhirnya digugurkan selepas ditolak oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah.

“Apa yang sampai di telinga saya, beliau (Amar) tidak bagi keluarga Allahyarham Nik Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa.

“Jadi, saya merayu kepada mereka yang melihat video ini termasuk pengundi di DUN Panchor supaya tidak mengundi Mohd Amar dan biar beliau kalah,” katanya.

Pada 11 Julai lalu, PAS menolak dakwaan parti itu cuba menafikan Nik Abduh peluang bertanding pilihan raya dan mahu mematikan legasi bapanya.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata pimpinan PAS Kelantan sendiri yang mencadangkan nama Nik Abduh untuk PRN akan datang.

Nik Abduh berkata beliau berlapang dada dan menerima keputusan PAS yang tidak mencalonkannya pada PRN dengan hati terbuka.

Malah katanya, beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk bertanding dan ia tiada masalah walaupun namanya tidak tersenarai.

Tiada ulasan: