"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PMX imamkan solat jenazah Salahuddin

Malaysiakini

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Salahuddin Ayub.

Anwar mengimamkan solat jenazah sekitar jam 11 pagi di Masjid Jamek Dato' Hj Noh Gadot, Serkat, Pontian, Johor pagi ini.

Mereka hadir membanjiri masjid bagi memberi penghormatan terakhir serta menunaikan solat jenazah.

Perdana menteri diiringi Menteri Besar Johor, Onn Hafiz dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah.

Jenazah Adun Simpang Jeram itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat sebelum solat Zuhur.

Anwar yang tiba di masjid terlebih dulu duduk ditepi jenazah Allahyarham dan memanjatkan doa serta memberi kata-kata semangat kepada keluarga arwah sebelum menunaikan solat jenazah.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi (Ahad) setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Anak kepada allahyarham, Fatihah Salahuddin memaklumkan pemergian bapanya yang juga Timbalan Presiden Amanah pada hantaran di media sosial.

"Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023," katanya.

Ahli parlimen Pulai dua penggal itu (2018, 2022) telah dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada Jumaat dan doktor mengesan dia mengalami pendarahan otak.

Tiada ulasan: