"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ayam tebuk' tak halal - JAIS

Ruwaida Md Zain
bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan produk 'ayam tebuk' di pasar raya Bukit Changgang, Banting tidak mempunyai sijil halal yang sah.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pengesahan itu diperoleh menerusi Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang memeriksa premis didakwa semalam.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, premis terbabit didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

"Premis juga didapati melakukan penyalahgunaan Logo Halal Malaysia kerana mempamerkan Logo Halal tanpa memiliki SPHM yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Siasatan dan tindakan lanjut dibuat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda tidak melebihi RM200,000," katanya hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan 'ayam tebuk ada sijil halal' di pasar raya berkenaan.

Mohd Shahzihan berkata, pada masa ini, sembilan skim pensijilan halal yang ditawarkan oleh JAKIM iaitu skim produk makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, logistik, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan peranti perubatan.

"Sekiranya terdapat sebarang penyelewengan status halal dan penyalahgunaan Logo Halal, aduan juga boleh dibuat kepada Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS di talian 03-5514 3726 / 3760 atau talian hotline 011-5582 0212," katanya.

Tiada ulasan: