"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak Allahyarham Salahuddin: Ayah milik rakyat

Malaysiakini

Kami anak-anak sudah lama meletakkan ayah sebagai milik rakyat, ayah pesan, biarlah dia ‘pergi’ semasa bekerja untuk rakyat dan kami reda dia sudah capai impiannya, kata anak sulung Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Iskandar Zulkarnain.

Iskandar Zulkarnain, 37, berkata sejak kecil lagi mereka enam beradik telah dididik untuk lebih berdikari, dan faham dengan kerja bapa Allahyarham yang membuatkan mereka seringkali sukar untuk bersama dengan bapa mereka.

Beliau berkata arwah juga pernah menasihati agar anak-anaknya untuk tidak mencampuri sebarang urusan kerjanya, serta mengajar mereka berdikari dan tidak terlalu bergantung dengannya.

“Sejak kecil lagi kami telah dididik, arwah tidak ada dengan kami, dia bersama rakyat, sebenarnya arwah ada pesan, biarlah dia pergi dalam keadaan semasa bekerja untuk rakyat, dan kami reda sebab dia sudah capai impian itu.

“Kami sekeluarga meminta doa yang terbaik, biarlah ayah pergi dengan jasa baik, kalau ada yang buruk - kami bagi pihaknya memohon maaf sekiranya ada salah dan silap atau terkasar kata,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat, dekat Pontian, hari ini.

Iskandar Zulkarnain juga menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan allahyarham, termasuk seluruh warga Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah yang telah memberikan perkhidmatan terbaik terhadap arwah bapanya itu.

Sementara itu isteri Allahyarham, Datin Seri Fatimah Taha berkata Allahyarham sebelum ini sering cergas dan sentiasa menjaga kesihatan serta pemakanan, namun arwah suaminya itu ada mengadu kepenatan kerana urusan kerja.

Beliau meluahkan kesyukuran kerana dapat bersama daripada mula sehingga saat-saat akhir suami tercintanya itu menghembuskan nafas terakhir.

“Kalau dahulu, walau dia tinggalkan saya sekejap kerana urusan kerja dan program, dia tetap akan balik, tetapi sekarang dia pergi meninggalkan saya selamanya dan tidak akan balik lagi, itu yang membuatkan saya sedih,” katanya dalam nada sebak.

Adik Allahyarham, Ghazaley Ayub, 56, pula berkata abang sulungnya itu merupakan seorang yang periang dan penyayang terhadap keluarga serta kuat bekerja, dan menceburi arena politik bermula daripada bawah sehingga menjadi seorang menteri.

“Dia mula ceburi politik daripada kehidupan yang susah, sehingga dia jadi menteri, dia sangat kuat bekerja, tetapi tidak pernah lupa keluarga, terutama ziarah emak. Arwah juga mengambil alih peranan ketua keluarga setelah ayah kami meninggal pada 2009,” katanya yang merupakan adik kedua daripada tiga beradik itu.

Terdahulu, ribuan ahli keluarga dan sahabat handai memenuhi masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.

 - Bernama

Tiada ulasan: