"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berehatlah sahabatku - Anwar

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia amat terkesan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub hari, menyifatkan allahyarham sebagai "seorang sahabat yang setia."

"Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.

"Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.

"Berehatlah, sahabatku.

“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah," kata perdana menteri pada maklum balas segera di media sosial.

Terdahulu, anak kepada allahyarham timbalan presiden Amanah itu, Fatihah Salahuddin mengumumkan bapanya telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata jasa Allahyarham Salahuddin sangat besar.

"Beliau yang mencetuskan konsep Payung Rahmah, Menu Rahmah, Jualan Rahmah dan banyak lagi - untuk membantu mengurangkan beban rakyat.

"Dalam politik, saya akan sentiasa kenang saat-saat indah, perit, senang dan susah terutama dalam Majlis Pimpinan Pakatan Harapan.

"You will be missed, dear friend (Sahabat, kamu akan sentiasa dirindui).

“Semoga segala usaha, jasa dan bakti Allahyarham dibalas dengan ganjaran pahala yang besar," katanya pada siri ciapan di Twitter.

Tiada ulasan: