"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas serang guna pisau, anggota polis terima 36 jahitan

Bernama

ALOR SETAR: Seorang pegawai dan anggota polis cedera selepas terkena pisau pemotong kertas digunakan suspek kes curi yang juga seorang lelaki warga emas, dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Selasih, Kulim.

Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh, berkata dalam kejadian 10.45 pagi tadi, pegawai tersebut mengalami kecederaan di bahagian dada dan menerima 36 jahitan, manakala seorang anggota cedera di kaki dan menerima lima jahitan.

“Bilik Gerakan IPD Kulim menerima panggilan mengenai kes curi di sebuah pasar raya. Sepasukan polis diketuai pegawai risikan/operasi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim telah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati suspek telah melarikan diri dengan menaiki motosikal. Pasukan polis kemudiannya melihat suspek berhenti di hadapan sebuah rumah dan pegawai berkenaan telah memperkenalkan diri sebagai polis kepada suspek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selepas itu suspek berusia 82 tahun itu telah mengambil sesuatu dalam raga motosikalnya dan terus menghayun senjata berkenaan ke arah pegawai itu hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian dada.

“Seorang anggota dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim yang berada di situ cuba menahan suspek dan telah berlaku pergelutan sehingga menyebabkan anggota berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri. Suspek telah berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh pasukan bantuan.

“Turut dirampas sebilah pisau pemotong kertas dan pelbagai barangan yang dicuri. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau bagaimanapun ujian awal air kencing mendapati suspek bebas dari pengaruh dadah,” katanya.

Katanya, kedua-dua anggota polis berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Kulim.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 380 KK kerana mencuri,” katanya.

Tiada ulasan: