"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi: Plot tangkap, jatuh kredibiliti saya dirancang 6 bulan lalu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor mendakwa plot menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu susulan maklumat rakannya memberi amaran tindakan akan diambil atas kritikan terbukanya terhadap pihak tertentu.

“Plot untuk tangkap saya sudah dirancang sejak enam bulan lalu, saya tahu dah, saya ada ‘intelligent’ saya, jumpa orang tu pesan jaga-jaga ada orang nak buat (sesuatu) kepada saya,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap dalam ceramah gelombang Perikatan Nasional di Padang Awam Kuala Ketil malam tadi.

“Untuk keselamatan, saya ada pistol dalam kereta 24 jam, ada dua kelopak, 14 peluru satu kelopak, 24 jam berjaga-jaga takut orang buat jahat, orang tak buat jahat, saya tak buat jahat pada orang.

“Sudah enam bulan kawan-kawan pesan, yang penting tangkap gari saya, jatuhkan moral dan hilang kredibiliti, selepas itu ceramah orang tak dengar lagi kerana saya sudah dimalukan dengan tangkapan.”

Pengarah pilihan raya PN itu ditahan polis pada 3 pagi Selasa lalu, sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan hasutan terhadap raja.

Sanusi berkata, beliau kesal permintaannya mendapatkan salinan dua kertas pertuduhan dihadapinya tidak diberikan pendakwa raya selepas prosiding di mahkamah.

“Saya hormat rakan dalam polis, jangan salahkan polis kerana mereka jalankan tugas atas arahan atasan sampai ke menteri, mereka terpaksa. Tujuan ditangkap untuk menjatuhkan kredibiliti saya, nak tarik saya jatuh ke tanah.

“Saya didakwa atas dua tuduhan, tetapi kertas pertuduhan tidak diberikan, saya hanya dibacakan dan saya mengaku tak salah, pendakwa raya kata kena beli dalam talian, tapi kemudian kertas pertuduhan jadi tular, tujuan untuk memalukan saya.

“Saya keluar (mahkamah) angkat tangan, terus jahanam habis semua. Malam ini saya isytihar angkat tangan ini lawan (perdana menteri) Anwar Ibrahim, cicak mengkarung jangan datang, kamu bawa Anwar.”

Sanusi berkata, tindakannya melawan Anwar tidak salah kerana mereka berdua berada dalam bidang politik dan beliau bukan melawan perdana menteri.

Tiada ulasan: