"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu bapa tunai ibadah haji, anak buat parti

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
FOTO Ihsan PDRM
Ampang Jaya: Sepasang suami isteri terkejut apabila kepulangan ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji disambut dengan keadaan tombol pintu bilik rumah mereka dipecah masuk.

Rupanya, anak lelaki mereka mengadakan 'parti' dan 'lepak' di kediaman ibu bapanya pada 15 Julai lalu.

Keseronokan berparti bertukar menjadi episod malang apabila lelaki itu dipukul oleh rakan yang datang malah tujuh jam tangan milik keluarganya yang bernilai RM300,000 turut dicuri.

Semua itu hanya diketahui pasangan suami isteri itu setibanya di rumah mereka di Taman Melawati pada jam 2.20 pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil permeriksaan lanjut wanita berusia 51 tahun itu mendapati tujuh jam tangan pelbagai jenama hilang dengan anggaran kerugian RM300,000.

"Susulan itu, pada jam 1.30 tengah hari semalam, sepasukan polis membuat serbuan di rumah di Subang Jaya dan menahan ahli muzik sambilan wanita berusia 26 tahun dan penuntut universiti awam lelaki berusia 21 tahun.

"Suspek wanita mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan dadah dan urin positif dadah jenis THC manakala suspek lelaki tiada kesalahan lampau dan urine positif dadah jenis THC," katanya kepada Harian Metro malam ini.

Hussein berkata, dalam serbuah berkenaan, polis berjaya merampas barangan yang dicuri iaitu enam jam tangan, papan luncur (skate board) yang digunakan memukul anak pengadu, beberapa telefon bimbit serta barangan lain.

"Berdasarkan hasil siasatan, suspek bersama lebih kurang lapan hingga 10 orang rakan-rakan anak pengadu dijemput oleh anaknya untuk pergi ke rumah itu berparti dan lepak makan.

"Salah seorang suspek yang masih bebas ada bertanya kepada anak pengadu berkenaan urusan pinjaman wang yang dibuat olehnya dengan menggunakan nama suspek.

"Keadaan itu mencetuskan pertengkaran sehingga anak pengadu dipukul menyebabkan mengalami lebam di bahagian mata," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian masuk ke dalam bilik pengadu dan mengambil barang-barang miliknya.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 25 Julai ini dan usaha mengesan serta menangkap suspek yang masih bebas masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kesalahan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: