"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasrat TG Nik Aziz berundur tidak tercapai

Ismail Hashim 
 
KUALA LUMPUR, 15 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memaklumkan, hasrat beliau untuk berundur dari jawatan menteri besar Kelantan sehingga kini tidak tercapai.

Ada sahaja, katanya, rintangan yang menghalang hasratnya itu dan kini beliau telah melebihi 20 tahun memegang jawatan itu.

Beliau berkata demikian di majlis ramah mesra dan dialog dengan bloggers di sebuah hotel dekat ini.

Majlis itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pengamal media alternatif khususnya.

Turut berada di pentas terdiri daripada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasruddin Daud dan lima Exco Kerajaan Negeri; Datuk Husam Musa, Datuk Takiuddin Hassan, Wan Ubaidah Omar, Haji Abdullah Che Nawi dan Datuk Dr Fadzli Hassan selaku penganjur majlis.

Tuan Guru di dalam ucapannya menceritakan seawal 1967, beliau menceburkan diri di dalam bidang politik dengan kewajipan memperjuangkan Islam sebagai dasar perjuangan siasah selama ini.

Menurutnya, dengan rasa kesedaran dan kewajipan tinggi berada di dalam tanggungjawabnya menyebabkan hasrat beliau untuk berundur diri, sehingga kini tidak dapat dilakukan.

Sebarkan kebaikan

Beliau mengingatkan semua bloggers agar menulis dan menyebarkan kebaikan di mana sahaja dengan rasa tanggungjawab tinggi untuk menyampaikan Islam.
(Gambar: Penulis Azizi Haji Abdullah antara yang turut memberikan soalan dan pandangan)

Sepatah akhir Tuan Guru menegaskan, menyebarkan Islam bakal memasuki Syurga dan tidak melaksanakan kewajipan itu akan masuk neraka.

Sebelum beliau bangun berucap, Dr Fadzli menyatakan, Tuan Guru mempunyai program di Terengganu dan terus berkereta ke Kuala Lumpur untuk memenuhi jemputan bersama bloggers.

Sebaik Tuan Guru selesai berucap, majlis dibuka kepada penyertaan peserta yang terdiri daripada 200 bloggers yang berlegar di seputar berbagai isu berbangkit dan semasa.

Tiada ulasan: