"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiausaha DAP Selangor sumbang kepada tabung khas

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Setiuasaha DAP Selangor, Lau Weng San menyokong penuh cadangan Menteri Besar Selangor untuk menubuhkan tabung khas bagi membantu pekerja Islam yang mahu bertukar kerja ke tempat yang halal.

Beliau yang juga Adun Kampung Tunku sanggup memberikan sebahagian dari bajet untuk kawasan yang diwakilinya ke tabung ini dan mengajak kerajaan Persekutuan juga menyokongnya.

"Saya mahu jadi yang pertama di Malaysia (menyokong tabung ini)," kata Lau Weng San dalam blognya.

Beliau melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan sesetengah media yang membuat laporan negatif dan tidak benar dengan apa yang berlaku dalam kes sekatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

"Kita bukan U Turn. Apa yang dibuat oleh kerajaan bukannya menarik balik peraturan itu tetapi meminta pelaksanaannya ditangguhkan sehinggalah kerajaan mengkajinya," kata Lau Weng San.

MPSJ telah meluluskan peraturan di bawah undang-undang kecil untuk melarang umat Islam dari bekerja di pusat-pusat hiburan yang menghidangkan arak sesuai dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Namun, memandangkan ianya dibuat tanpa melalui kerajaan negeri, peraturan itu tidak akan dilaksanakan dahulu sehingga ianya selesai dikaji dan kerajaan negeri membuat persediaan yang sewajarnya.

Antaranya, kerajaan negeri Selangor mencadangkan agar diadakan satu tabung khas untuk membantu pekerja Islam yang mahu berhenti dari bekerja di tempat sedemikian di samping membantu mereka mencari pekerjaan baru yang halal.

Cadangan inilah yang disokong oleh Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San ini.

Tiada ulasan: