KUALA LUMPUR, 9 Jan: “Kalau dia minta maaf sekali pun, susah saya nak maafkan. Sanggup dia buat saya macam ni,” demikian kata Siti Aminah Hanapi, 50, yang parah ditetak madunya dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Korok dekat Alor Stear kelmarin.
Akibat kejadian itu, Aminah yang merupakan isteri pertama terpaksa menerima 46 jahitan di dahi dan pipi kiri selain mengalami sedikit retakan pada tengkorak kepala.
Bercerita lanjut, wanita tersebut berkata, dia sama sekali tidak menyangka layanan baik terhadap madunya yang dikenali sebagai Mah itu termasuk membenarkan tinggal bersama mereka sejak dua minggu lalu mengundang padah pada dirinya sendiri.
“Memang saya dan anak-anak tidak bersetuju apabila suami membawa Mah (madu) tinggal bersama kami kerana masalah kewangan tetapi mengenangkan anak tiri saya berusia lapan bulan ini, saya beralah,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.
Dia dirawat du Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, seorang isteri muda bertindak di luar batasan dengan menetak madu dan anak tirinya berusia 16 tahun sehingga parah menggunakan parang dipercayai akibat perselisihan faham.
Kejadian itu juga menyebabkan anak mangsa, Nurul Syuhada cedera di kaki akibat terkena libasan parang setelah cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.
Aminah berkata, kejadian yang dianggap dahsyat dan ngeri itu juga menyebabkan dia serik hidup bersama suaminya, Saad Hussain, 51.
“Saya dah tak sanggup nak hidup dengan dia dan dah buat keputusan nak pergi ke pejabat agama untuk selesaikan masalah rumah tangga ini. Serik nak tinggal bersamanya bimbang kejadian berulang,” katanya.
Mengimbas tentang kejadian semalam, katanya, dia ditetak ketika cuba mengambil anak madunya yang berusia lapan bulan untuk diberi susu.
“Saya minta kebenaran dia (madu) dulu untuk ambil anaknya dan dia meminta saya masuk ke dalam bilik dan tiba-tiba dia terus libas saya dengan parang.
“Nasib baik anak saya (Nurul Syuhada) tolong rampas parang itu, kalau tidak tak tahu apa nasib saya,” katanya.
Katanya, dia tidak mahu berdendam dengan madunya itu dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes tersebut.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Hamenuddin berkata, siasatan awal polis mendapati, punca kejadian tetak tersebut adalah disebabkan daripada perselisihan faham.
Polis menahan suspek wanita di rumah keluarganya di Kuala Nerang dekat sini kira-kira pukul 3 petang ini bagi membantu siasatan.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan