KOSMO
Kumpulan penduduk membawa jenazah menyeberangi sungai yang tiada jambatan. – Instagram
JAKARTA – Sekumpulan penduduk kampung di Pesisir Barat, wilayah Lampung terpaksa mengharungi arus deras dan berenang di sebatang sungai sambil membawa jenazah yang hendak dikebumikan, lapor portal berita Okezone kelmarin.
Penduduk Kampung Pemerihan bertindak demikian disebabkan tiada jambatan dibina di sungai tersebut.
“Sungguh prihatin warga Kampung Pemerihan membawa jenazah menyeberangi Sungai Way Pemerihan Selasa (kelmarin),” demikian menurut keterangan hantaran yang dimuat naik di Instagram.
Menurut seorang penduduk dikenali sebagai Roziddin, situasi itu berlaku setiap kali ada penduduk yang meninggal dunia ketika musim tengkujuh.
“Kami sangat memerlukan bantuan pemerintah pusat untuk membina jambatan menuju ke kawasan perkuburan,” katanya.
Dalam video yang dikongsikan, sekumpulan penduduk dilihat bertungkus-lumus membawa jenazah menyeberangi sungai dalam keadaan arus deras.
Jenazah tersebut diletakkan di atas pelampung daripada tayar kenderaan.
Penduduk turut berenang dan mendorong jenazah untuk sampai ke seberang sungai sebelum menuju ke kawasan perkuburan.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Semoga dilihat oleh Pak @jokowi,” kata seorang netizen sambil menyebut akaun Instagram Presiden Indonesia itu.
“Sedih kerana masih ada kejadian seperti ini,” kata netizen lain. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan