"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jurugambar 'dipukul' tunjuk lokasi kejadian

Seorang jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang mendakwa dipukul beberapa anggota polis bantuan berhampiran Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) semalam, hari ini diminta menunjukkan lokasi kejadian itu kepada polis.

Hairul Nizam Baharin, 37, dibawa ke lokasi itu oleh pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, ASP Abdul Malik Hasim diiringi seorang jurugambar polis dan seorang wakil polis bantuan TBS-BTS, kira-kira 12.20 tengah hari tadi.

"Saya ke lokasi kejadian itu semula apabila diminta berbuat demikian oleh pegawai penyiasat dari IPD Cheras ekoran dari laporan polis yang telah saya buat di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini sejurus selepas kejadian itu, semalam," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian itu, Hairul Nizam mendakwa beliau diperlakukan sedemikian oleh sekumpulan lelaki yang memakai ves polis bantuan selepas menjalankan tugas mengambil gambar di persekitaran terminal tersebut kira-kira-kira pukul 11.30 pagi.

Ketika hendak beredar dari tempat itu, polis bantuan itu meminta beliau memberhentikan motosikal namun beliau enggan berbuat demikian kerana tidak tahu tujuan mereka.

Akibat daripada itu, salah seorang polis bantuan terbabit merampas kunci motosikalnya sebelum seorang daripada mereka bertindak menumbuk dan menggarinya.

Ketua Polis Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

"Kita sedang menjalankan siasatan kes itu berdasarkan laporan yang dibuat oleh jurugambar terbabit namun pihak kami belum menerima sebarang laporan daripada polis bantuan di terminal berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk polis bantuan terminal itu dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan.
-Bernama-

Tiada ulasan: