"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AI, ML: 4.5 juta pekerja dalam bahaya

Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Dianggarkan lebih 4.5 juta pekerja di negara ini berisiko hilang pekerjaan menjelang 2030 akibat ancaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML).

Itu antara data yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia pada Jun lalu memperlihatkan ancaman bidang pekerjaan asas atau sokongan bakal terancam susulan ledakan teknologi AI.

Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya 83 juta pekerjaan bakal pupus untuk tempoh lima tahun akan datang akibat perkembangan teknologi berkenaan.

Pada masa sama, sebanyak 69 pekerjaan baharu akan tercipta yang banyak berorientasikan tentang kepakaran teknologi serta pengendalian mesin berat.

Itu antara 'pekerjaan pupus' akibat daripada ledakan teknologi khususnya keupayaan AI untuk menggantikan tugas manusia, malah teknologi itu mampu untuk melaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan tanpa memerlukan kos pembayaran gaji.

Segmen pekerjaan utama yang bakal diambil alih AI termasuk perkeranian perbankan, juruwang, juru tiket, penyambut tetamu, pegawai khidmat pelanggan, pemandu pengangkutan awam, penganalisis data, penterjemah dan beberapa pekerjaan lain.

Itu antara 'pekerjaan pupus' akibat daripada ledakan teknologi khususnya keupayaan AI untuk menggantikan tugas manusia, malah teknologi itu mampu untuk melaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan tanpa memerlukan kos pembayaran gaji.

Berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia 2023 (WEF 2023): Pekerjaan Masa Depan memperlihatkan penurunan paling ketara membabitkan sektor pekerjaan berasaskan kepada perkeranian.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (Acru) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad menyatakan data daripada laporan WEF berkenaan jelas memperlihatkan beberapa sektor pekerjaan yang bakal pupus untuk lima tahun yang akan datang ini.

"Sektor pekerjaan membabitkan asas perkeranian merekodkan penurunan paling ketara iaitu lebih 50 peratus termasuk pekerjaan khidmat pelanggan yang kini sudah digantikan dengan bot perbualan berteraskan AI.

"Semua pekerjaan berkenaan merekodkan penurunan lebih 50 peratus manakala penawaran kerja berkenaan semakin mengecil dan diramal akan pupus untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Pada masa sama, kita melihat perkembangan sekitar 30 hingga 35 peratus iaitu 1.4 juta pekerjaan membabitkan sektor pekerjaan Analisis Data, Pakar Data Raya, Penganalisis Risikan Perniagaan, Jurutera Data dan beberapa pekerjaan baharu lain," katanya.

Beliau berkata, pengendali peralatan pertanian pula merekodkan pertumbuhan pekerjaan paling tinggi iaitu lebih 2.5 juta pekerjaan manakala kerani kemasukan data mencatatkan penguncupan penawaran kerja lebih 7.5 juta.

Menurutnya, laporan WEF ini menjadi garis panduan terhadap masa depan segmen pekerjaan dan graduan institusi pengajian tinggi perlu meningkatkan kemahiran dan tidak bergantung kepada kecemerlangan teori semata-mata.

Kumpulan sokongan terima kesan

Bidang pekerjaan perkeranian serta sokongan pentadbiran akan menerima kesan langsung terhadap penerapan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor pekerjaan.

Pakar Ekonomi, Dr Mohd Yusof Saari berkata, pekerjaan yang lazimnya berteraskan maklumat iaitu menginput dan memproses maklumat bakal berhadapan dengan senario berkenaan.

"Dalam laporan beberapa firma antarabangsa tahun ini menyatakan sehingga 300 juta pekerja berisiko kehilangan pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

"Saya melihat kesan yang besar adalah terhadap kumpulan sokongan memandangkan graduan bukan berada dalam kumpulan berkenaan, kesannya tidaklah ketara.

"Namun ini tidak bermakna graduan adalah terkecuali daripada impak AI berkenaan, sebaliknya tuntutan dan cabaran terhadap graduan dalam mendepani fenomena AI dalam pekerjaan tetap signifikan," katanya.

Mohd Yusof berkata, menerusi pelaksanaan AI akan menjadikan banyak proses kerja lebih pantas berlaku dan banyak potensi perubahan ke arah kecekapan organisasi dapat dilaksanakan.

Apabila fenomena Internet Kebendaan (IoT) berlaku secara besaran, maklumat dan data boleh direkod, diproses dan diuruskan oleh mesin.

Pengautomasian data serta maklumat ini bakal mengurangkan malah boleh menafikan khidmat manusia.

Tingkat kemahiran sedia ada

Graduan perlu bersedia untuk meningkatkan kemahiran sedia ada serta mempelajari perkara baharu yang sesuai dengan kemajuan teknologi semasa untuk diterima masuk ke dalam sektor pekerjaan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, penguncupan penawaran pekerjaan dalam bidang tradisional ini digantikan dengan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin berkembang.

"Kalau kita lihat, pekerjaan membabitkan khidmat pelanggan sudah digantikan dengan bot AI dan banyak lagi cabang pekerjaan akan dilupuskan serta penggantian kepada profesion baharu.

"Saya melihat mungkin pihak pengurusan universiti juga perlu melihat penawaran program pembelajaran di semua peringkat supaya ia mengikuti arus semasa dan pasaran kerja.

"Antara lain yang boleh difikirkan adalah aspek penambahan kemahiran dan pembelajaran kemahiran baru untuk graduan serta tidak terlalu memberi tumpuan kepada satu bidang saja sebaliknya kepelbagaian kemahiran," katanya.

Beliau berkata, ini adalah cabaran dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) apabila ia bertitik tolak kepada automasi robot dan ledakan teknologi baharu.

"Sebenarnya, IR 4.0 ini menawarkan potensi profesion pekerjaan baharu khususnya berkaitan dengan data raya, blockchain dan kepakaran berasaskan IA atau pembelajaran mesin (ML).

"Segmen pekerjaan baharu ini menawarkan potensi yang besar di samping penawaran kadar upah yang lebih baik," katanya.

Tiada ulasan: