"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Juruterbang jet F-35 mendarat di belakang rumah

AFP
FOTO fail menunjukkan jet F-35A berlepas dari lebuh raya di Tervo, Finland. FOTO NTB/ Reuters
FOTO fail menunjukkan jet F-35A berlepas dari lebuh raya di Tervo, Finland. FOTO NTB/ Reuters
Washington: Satu rakaman perbualan dikeluarkan pada Jumaat mengenai panggilan kecemasan 911 daripada pemilik rumah di Amerika Syarikat (AS) yang melaporkan bahawa juruterbang jet F-35 mendarat di halaman belakang rumahnya selepas melentingkan diri dari pesawat itu menggunakan kerusi anjal.

"Saya rasa 'mendapat' juruterbang di rumah kami. Dia keluar dari pesawat. Saya rasa dia mendarat di belakang rumah saya dan kami cuba melihat sama ada kami boleh mendapatkan ambulans ke rumah," kata pemilik rumah itu.

"Saya minta maaf, apa yang berlaku?," kata operator talian 911 yang bingung menerima maklumat panggilan luar biasa pada hujung minggu itu.

Dalam kejadian pada Ahad minggu lalu itu, juruterbang selamat mendarat dengan payung terjun selepas melentingkan diri dari jet bernilai AS$80 juta (kira-kira RM375 juta) itu ke kawasan kejiranan di Charleston Utara, Carolina Selatan.

Pesawat itu akhirnya terhempas kira-kira 100 kilometer di utara tempat juruterbang itu melentingkan diri dan serpihan F-35 ditemukan pada Isnin, selepas pihak berkuasa meminta orang ramai membantu mencari jet yang hilang itu.

Selepas pemilik rumah bercakap dengan operator 911, juruterbang itu sendiri cuba menjelaskan keadaan.

"Saya seorang juruterbang dalam pesawat tentera dan saya melentingkan diri. Jadi saya hanya menaiki payung terjun ke tanah. Boleh tolong hantar ambulans?," katanya.

Operator talian kecemasan 911 pada ketika itu nampaknya masih tidak memahami bahawa dia bercakap dengan juruterbang itu sendiri.

"Sejauh mana jatuh?" tanya operator itu. "Saya berada pada ketinggian 2,000 kaki," kata juruterbang berkenaan.

"Baiklah, dan apa yang menyebabkan kejatuhan?" tanya operator itu lagi. "Kegagalan pesawat," juruterbang itu menjawab.

Juruterbang memberitahu operator bahawa dia tidak pasti di mana kapal terbang itu berada dan bertanya sama ada terdapat sebarang laporan mengenai nahas pesawat.

"Saya belum menerima sebarang maklumat berkenaan," kata operator itu.

Serpihan pesawat F-35 ditemukan di Williamsburg County, Carolina Selatan, timur laut Pangkalan Bersama Charleston, di mana pesawat itu berlepas dalam penerbangan latihan rutin.

Tiada ulasan: